12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat Ini Sangat Membantu Anda!

Apa yang menjadikan kita gagal mengajar anak kecil untuk solat?

Cara ajar anak supaya rajin solat ini sangat membantu! Ada pelbagai sebab menjadikan kita kurang berjaya menyemai pendidikan untuk solat diawal usia.

Kesibukan melampau, tiada kesedaran atau sikap ibu bapa yang tidak serius. Masalah yang paling kronik ialah tidak tahu kaedah yang betul.

BACA JUGA : 6 Kunci Untuk Mendapatkan Hati Senang & Jiwa Tenang

Tidak menunjukkan cara yang yang betul, tidak konsisten dalam memberi arahan, mudah memarahi anak, dan tidak menyelitkan elemen kasih sayang. Ini bukan sahaja membuatkan anak kecil semakin sukar untuk belajar solat, malah menyebabkan mereka beranggapan solat adalah satu perkara yang membosankan.

Anak Masih Terlalu Kecil Untuk Solat?

Anak-anak selayaknya sudah boleh diajar seawal umur dua atau tiga tahun.

“Jika seseorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah ia untuk mengerjakan solat” – [Riwayat at-Thabarani]

Untuk mengajarkan anak kecil untuk solat memang agak mencabar. Apatah lagi untuk solat dengan sempurna. Tetapi semakin sukar sesuatu amanah, semakin besar ganjarannya.

Mendidik anak kecil menunaikan solat bukanlah satu proses yang sukar, jika kaedah yang kita gunakan betul. Malah mereka akan tertunggu-tunggu untuk solat dengan anda.

BACA JUGA : Macam Mana Kita Nak Tegur Orang Supaya Dia Tak Terasa??

Membina disiplin bukanlah sesuatu yang mudah.

12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat

1. Selalu Solat Depan Anak

Ibu bapa adalah model terbaik dalam apa-apa jua perkara pada mata anak-anak. Mereka akan menyerap dan meniru secara tidak langsung setiap apa yang ibu bapa mereka lakukan. Oleh itu gunakan kelebihan ini dalam mengajar anak kecil untuk bersolat.

Solatlah di tempat yang sentiasa dapat dilihat oleh anak. Contohnya ruang tamu. Selalunya anak-anak kecil akan meniru gaya kita solat. Itu adalah petanda yang bagus kerana mereka sudah berminat dan rasa ingin tahun tentang solat.

2. Ajak Anak Solat, Bukan Suruh

Anda perlu mengajak anak anda solat berjemaah bersama-sama anda, bukan menyuruhnya solat sendirian. Tidak perlu tunggu sehingga anak berumur 7 tahun untuk mengajak mereka bersolat.

Walaupun anak baru berusia 2-3 tahun, ajaklah mereka supaya solat di sebelah kita. Pada usia ini bakat meniru mereka sangat hebat.

BACA JUGA : Anak 1-2 Tahun Mula Memberontak, Buang Barang, Merajuk Dan Protest, Kenali Apa Itu Tantrum

Lakukan secara konsisten setiap masa untuk mengajak anak pada awal waktu. Dengan cara ini kita menanamkan mindset supaya mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat.

Jika anak-anak sudah bersekolah, ajak anak solat subuh bersama-sama sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.

3. Minta Laungkan Iqamah

Setiap kali solat berjemaah, minta anak untuk melaungkan iqamah. Mungkin mereka malu atau tidak tahu pada mulanya, tetapi bimbinglah mereka untuk melaungkan iqamah dengan betul.

In shaa Allah, ini bukan sahaja mengajar mereka untuk berasa yakin, malah akan membuatkan mereka timbul rasa tanggungjawab setiap kali solat. Jika anda ada lebih dari seorang anak lelaki, boleh gilirkan tugas untuk melaungkan iqamah.

12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat
Kanak-kanak sangat mudah terikut dan meniru tingkah laku orang dewasa. Kita mulakan lah dulu. Mulakan dengan sentiasa solat di hadapan mereka. / foto – google

 

4. Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas

Kuatkan bacaan anda dalam solat supaya anak kita boleh dengar. Dengan cara ini, secara tidak langsung ia akan membuatkan anak anda ingat akan surah-surah lazim yang sering kita bacakan.

Anak juga akan memahami bagaimana tertib (langkah-langkah) dalam solat dilakukan.

5. Bersalaman Dan Peluk Anak Lepas Solat

Penting untuk kita bersalaman dengan anak-anak setiap kali selesai solat. Bersalaman yang diikuti dengan pelukan dan ciuman bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, malah dapat memberi persepsi positif kepada anak bahawa solat ini sebenarnya salah satu aktiviti untuk berkasih sayang.

In shaa Allah, ia akan membuatkan anak anda rasa gembira dan setiasa menunggu waktu solat.

6. Beri Pujian Untuk Setiap Perkara Positif

Jika anak menunjukkan kelakuan yang baik seperti tekun dan tidak bermain-main semasa solat, berikan mereka pujian. Dengan cara ini mereka akan sentiasa gembira dan semakin tekun untuk solat.

7. Ajar Wuduk Langkah Demi Langkah

Sebenarnya, cara mendidik anak kecil solat adalah bermula dari wuduk. Jika wuduk sempurna, in Shaa Allah solat juga akan sempurna. Ajarkan anak anda mengambil wuduk yang sempurna. Bimbing secara tersusun. Tampalkan poster wuduk bergambar dalam bilik mereka.

Bersabarlah, mungkin perkara ini mengambil masa untuk dilakukan dengan sempurna oleh anak. Tetapi ia akan berbaloi jika mereka sudah pandai. Perhatikan juga setiap kali dia mengambil wuduk dan tegur secara terus jika dia melakukan kesilapan. dengan cara ini, setiap teguran akan kekal dalam ingatan mereka.

Jangan serahkan perkara ini kepada guru agama semata-mata.

8. Tazkirah Santai Selepas Solat

Ambil sedikit masa selepas solat untuk memberi tazkirah kepada anak-anak. Tidak perlu terlalu formal. Cukup dengan gaya bersahaja dan menyentuh perkara-perkara asas seperti rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, kisah nabi-nabi dan isu-isu semasa.

Pada waktu ini, jiwa anak-anak lebih tenang. Oleh itu, ia adalah waktu yang terbaik untuk memberi pengajaran kerana mereka akan lebih mudah untuk menyerap setiap apa yang anda sampaikan.

9. Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan

Ajarkan anak untuk menghormati azan. Apabila terdengar azan dilaungkan, berhenti bercakap dan beritahu anak supaya diam. Sebutkan cara menjawab azan dengan jelas supaya anak juga boleh mendengar.

Selepas itu, baca bersama-sama dengan anak doa selepas azan. Sentiasa praktikan ini tidak kira dimana jua, sama ada di rumah ataupun di luar rumah.

Ini dapat memberi contoh kepada anak bagaimana untuk menghormati azan, secara tidak langsung mengajarkan anak membaca sendiri doa selepas azan.

10. Bawa Anak Ke Masjid

Adalah satu rahmat yang besar jika rumah anda berdekatan dengan masjid.

Bawa anak anda ke masjid untuk solat berjemaah bersama-sama. Ini bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan suasana solat berjemaah dan menanamkan semangat cintakan masjid.

Jika anda sibu, usahakan untuk mencari ruang dan masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk pergi ke masjid bersama dengan anak-anak.Mungkin anak-anak akan bermain-main dan bising, tetapi salah satu kaedah mengawal anak adalah mengajak mereka solat disebelah.

Mungkin anda tidak dapat solat di saf hadapan, tetapi anda dapat mengawal tingkahlaku anak-anak agar tidak menggangu jemaah lain.

11. Tegur Dengan Lembut Kesilapan Anak

Selepas sesi berdoa, biasanya adalah waktu sesuai untuk menegui kesilapan anak. Ingat tegurlah anak dengan lembut. Mulakan dengan pujian.

Setiap kali ingin memperbetulkan sesuatu kesalahan, tarik perhatian anak dengan puji mereka. Ia bukan sahaja mengekalkan fokus anak, malah ia adalah kaedah mendidik yang sangat baik setiap anak-anak.

Jadikan setiap sesi solat medan untuk bermesra, bukan untuk tempat melepaskan kemarahan. Ingat mereka masih kecil, jangan jadi ibu bapa pemarah.

12. Belikan Telekung Atau Kopiah Yang Cantik

Salah satu cara untuk meningkatkan mood anda adalah dengan membelikan merekea kelengkapan solat seperti sejadah, telekung dan juga kopiah.

Lebih-lebih lagi jika telekung atau kopiah itu cantik. Dalam bab itum berikan kebebasan kepada anak untuk memilih apa yang dia suka.

Amalkan Doa Pelembut Hati Untuk Anak-Anak

Semakin anak-anak membesar, anda tentu susah hati apabila melihat anak anda liat untuk bersolat. Disuruh beberapa kali masih tidak berganjak. Terus bertenggek di hadapan televisyen ataupun telefon pintar.

BACA JUGA : Adakah Anda Termasuk Dalam 4 Golongan Yang Rajin Solat Tetapi Masuk Neraka Ini?

Cuba amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur dan hembuskan pada umbun-umbun mereka.

(40) رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Solat adalah modul latihan yang paling ampuh bagi membina kekuatan jiwa, mental dan iman anak-anak.

In Shaa Allah, jika anak-anak dilatih bersolat sejak kecil mereka tidak akan berasa kekok untuk mengutamakan solat apabila semakin besar. Pahala kerajinan anak-anak bersolat, akan turut melimpah kepada ibu bapa yang gigih melatih anaknya itu bersolat.

Maka usah tangguh lagi untuk ajar anak supaya rajin solat ya!

Masukan email anda untuk melanggan artikel percuma dari kami.

Anda mungkin meminati