Laman Informasi Dan Inspirasi

- Advertisement -

Fahami Psikologi Anak Anda

Belajar untuk memahami anak anda merupakan satu perkara yang sepatutnya dilakukan oleh anda yang bergelar ibubapa.

Ia merupakan suatu perkara terpenting untuk anda lebih mengenal anak anda dan ia juga sebenarnya turut menjadi faktor penting dalam membantu secara efektif proses bimbingan dan pembentukan anak-anak anda sepanjang mereka membesar dan menjadi semakin matang.

Dalam erti kata lain, anda perlu fahami psikologi anak anda. Maksudnya disini adalah anda perlu tahu dan faham bahawa setiap anak mempunyai ciri personaliti unik mereka sendiri yang kebiasaannya akan kekal konsisten sepanjang hayat mereka.

Ciri-ciri personaliti unik mereka ini jarang sekali akan berubah kecuali jika anak-anak anda mengalami atau melalui satu pengalaman serta keadaan yang memberi kesan yang mendalam terhadap psikologi mereka.

Perhatikan Cara Hidup Seharian Anak Anda

Kenapa perkara ini perlu anda lakukan? Apa yang sebenarnya perlu diperhatikan?

Soalan-soalan tersebut merupakan antara soalan lazim yang sering dikemukakan oleh ibubapa apabila berbicara mengenai memahami psikologi anak. Anda sebagai ibubapa perlu perhatikan cara hidup seharian anak anda dengan memerhatikan cara mereka tidur, makan, bermain dan sebagainya.

Apa yang perlu anda berikan perhatian disini adalah ciri-ciri konsisten yang akan muncul tatkala anak-anak anda melakukan aktivtiti-aktiviti tersebut.

Aktiviti mana yang paling digemari oleh anak-anak anda?

Cuba anda lakukan sedikit perubahan keatas aktiviti mereka tersebut. Sebagai contoh, dari segi tidur, jika anda membawa mereka makan angin ke sesebuah tempat yang memerlukan anda dan keluarga untuk menginap di hotel, adakah perubahan tempat tidur tersebut akan memberikan kesan terhadap anak anda?

Mereka boleh sesuaikan diri dan tidur seperti biasa atau mereka akan mengalami kesukaran untuk tidur? Menerusinya, anda sudah sedikit sebanyak lebih mengenali dan memahami bahawa anak anda termasuk dalam kategori yang tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru ataupun tidak.

Adakan Komunikasi Konsisten Dengan Anak Anda

Tidak kisah samada anda merupakan seorang yang tersangat sibuk ataupun tidak, cuba untuk sentiasa adakan masa untuk anda berkomunikasi dengan anak anda.

Sebenarnya, antara cara paling mudah dan terbaik untuk anda lebih memahami anak-anak anda adalah menerusi percakapan dengan anak-anak anda. Berdasarkan cerita mereka, anda mampu untuk memahami dan membuat kesimpulan mengenai apa yang disukai dan tidak disukai oleh anak-anak anda.

Bagi anak-anak kecil, anda boleh mengetahui sesuatu perkara mengenai diri mereka berdasarkan bahasa tubuh dan juga ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh mereka.

Anda pastinya dapat memahami setiap apa yang dilakukan oleh anak-anak anda. Bahasa tubuh dan ekspresi wajah anak kecil bukanlah perkara yang terlalu kompleks untuk anda fahami. Bagi anak-anak yang sudah pandai bercakap pula, anda boleh terus bertanyakan soalan kepada mereka.

Dengan cara ini, anda akan memberikan peluang untuk mereka berkongsi cerita dan meluahkan perasaan kepada anda. Menerusi cara ini juga, anda akan belajar lebih banyak mengenai anak-anak anda.

Keyakinan Diri Merupakan Kunci Kejayaan

Keyakinan diri merupakan antara faktor penting yang akan menentukan samada seseorang itu mampu untuk menempuh apa jua cabaran dan rintangan sekaligus berjaya dalam hidup atau tidak. Dari mana sebenarnya keyakinan diri ini mampu diperoleh dan dilatih?

Ia bermula dari rumah. Bagaimana layanan anda terhadap mereka dari segi perbuatan atau kata-kata akan mempengaruhi keyakinan diri anak-anak anda. Kata-kata dan perbuatan yang positif terhadap anak-anak akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan begitulah sebaliknya. Anda merupakan antara insan pertama yang akan menentukan tahap keyakinan diri anak-anak anda.

Selain itu, menerusi proses anak-anak anda melalui hidup seharian mereka juga banyak membantu mereka untuk mendapatkan tahap keyakinan diri yang tinggi.

Sebagai contoh, mereka berjaya mendapat tempat pertama dalam sesebuah pertandingan. Pastinya dari situ mereka akan semakin yakin dengan kemahiran dan kualiti diri yang ada pada mereka untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.

Pujian yang diterima juga memainkan peranan dalam menentukan tahap keyakinan diri mereka. Menerusi pujian-pujian ini, mereka akan menjadi semakin yakin bahawa mereka mempunyai keupayaan sehingga mendorong orang sekeliling untuk memuji mereka.

Anda juga harus tahu bahawa ada sesetengah anak-anak anda akan mengalami keadaan dimana mereka agak susah untuk membentuk dan meningkatkan kemahiran sosial mereka. Oleh itu, anda selaku ibubapa dan insan yang mampu mempengaruhi anak-anak anda seharusnya memainkan peranan anda untuk membantu mereka membina kemahiran sosial ini.

Banyakkan berinteraksi dengan mereka dan bawa mereka untuk bergaul dan bercampur dengan orang lain. Anda boleh bawa mereka ke taman permainan dan pujuk mereka untuk bergaul dengan kanak-kanak lain yang ada di taman permainan tersebut.

Sekian sahaja untuk artikel kali ini. Diharapkan artikel ini telah sedikit sebanyak memberikan anda gambaran mengenai kepentingan untuk anda memahami psikologi anak-anak anda dan anda juga telah mendapat sedikit ilmu untuk memahami psikologi mereka.

Anda mungkin meminati