6 Langkah Mudah Untuk Menangani Stress

Hidup ini adakalanya  kita ceria bebas dari masalah dan adakalanya kita berduka kerana diselubungi dengan pelbagai masalah. Setiap manusia memang tidak akan terlepas dari menghadapi pelbagai masalah yang boleh menjadi tekanan dalam hidup.

Masalah yang timbul itu jika tidak di tangani dengan cara yang betul, maka akan menjadikan seseorang itu stress/tertekan. Tekanan itu boleh datang dari banyak sebab seperti masalah kewangan, bebanan dari tempat kerja, masalah kesihatan, masalah dengan pasangan dan sebagainya.

Sepertinya tidak ada apa yang boleh kita lakukan. Bil air dan api tidak akan berhenti datang pada setiap bulan. Bagi yang sudah bekerjaya pinjaman semasa belajar PTPTN perlu dilunaskan apabila sudah mendapat pekerjaan, walaupun ketika itu gaji masih kecil tambahan pula  dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Bagi pelajar pula, stress itu hadir apabila tiba musim peperiksaan kerana mereka perlu membuat ulangkaji untuk setiap subjek yang diambil. Bukankah semua permasalahan itu boleh memeningkan dan menjadikan kita stress?

Setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk menangani dan mengurangkan tekanan/stress itu. Cara tersebut dapat membuatkan kita melupakan seketika masalah yang dihadapi, membuat kita rasa lebih tenang dan memberi semula kekuatan untuk kita menghadapi tekanan itu. Di sini saya kongsikan 6 langkah mudah untuk menangani stress yang boleh diamalkan.

 

1. Berfikiran Positif

Untuk mengelakkan diri dari memikirkan perkara yang tidak berfaedah dan membebankan pemikiran, kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dengan menganggap bahawa masalah yang datang sebagai satu cabaran dan ujian dari Allah sebagai tanda sayang untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik, kuat serta mematangkan diri.

2. Sentiasa Mengingati Allah

Seperti yang kita ketahui Allah adalah pencipta segalanya yang ada di alam semesta ini. Oleh itu, apabila kita merasa tertekan atau stress, kita hendaklah berbalik semula kepada Allah yang Maha Esa. Hal ini kerana, dengan mengingati Allah kita akan jadi hamba yang redha dengan segala masalah yang dihadapi.

Kita hendaklah melakukan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk memohon pertolongan dari Allah dengan banyakkan berzikir dan solat bagi yang beragama Islam dan bagi yang bukan beragama Islam boleh melakukan ibadat mengikut kepercayaan masing-masing.

3. Berkongsi Masalah Dengan Seseorang.

Berbuallah dengan seseorang yang boleh dipercayai bagi menurangi stress yang dihadapi. Carilah rakan atau ahli keluarga yang kita percayai dan boleh memahami perasaan kita. Luahkan dan kongsilah masalah yang dihadapi dengan mereka, dengan ini dapat meringankan beban yang dipikul serta menjadikan kita lebih lega dan sedikit tenang.

4. Terima Kelebihan Dan Kekurangan Diri.

Kebiasaannya, kita akan merasa tertekan atau mengalami stress apabila ada orang lain menyebut akan kekurangan diri kita. Tidak salah sekiranya kita menerima teguran dan kritikan tersebut untuk menjadikan kita lebih baik pada masa kan datang. Selain itu, jangan pula kita berbangga diri dengan kelebihan yang ada sebaliknya menganggap ia sebagai penghargaan kepada diri sendiri. Dengan ini, kita akan tahu bahawa setiap apa yang berlaku itu adalah bersebab.

5. Banyakkan Membaca Al-Quran.

Al_quran adalah buku atau kitab yang paling indah untuk kit abaca dan amalkan. Dengan membaca Al-Quran hati yang gusar akan menjadi lebih tenang dan terkawal. Bagi yang beragama Islam, kita memang disarankan untuk membaca kitab suci ini sekurang-kurangnya 1 mukasurat sehari. Di dalamnya terdapat banyak manfaat yang boleh diperolehi untuk menenangkan fikiran sekaligus mengurangkan stress yang dihadapi.

6. Sentiasa Senyum Dan Tenang.

Apabila menghadapi konflik, terimalah dengan hati yang tenang dan tersenyum sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi. Sekiranya orang melihat kita tersenyum secara automatik orang itu juga akan turut tersenyum kerana senyuman adalah salah satu bentuk komunikasi bukan lisan terhadap individu lain.

 

Sebenarnya stress itu juga baik untuk setiap individu kerana tanpa stress kita mungkin tidak akan berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan merasa diri berada di posisi yang selamat sampai bila-bila. Namun begitu, kita juga tidak boleh terus hidup dalam keadaan tertekan dan stress setiap masa kerana kita hanya manusia biasa yang perlukan ruang untuk lari daripada konflik yang datang tanpa diduga agar kita tidak terus jatuh.

 

Foto : islamicity.org

Masukan email anda untuk melanggan artikel percuma dari kami.

Anda mungkin meminati